X
Isnin, 18 April 2022 | 8:56pm
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Iswara selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang menyeludup daun ketum - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Iswara selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang menyeludup daun ketum - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Pemandu maut, isteri cedera dirempuh penyeludup ketum

KUBANG PASU: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama isterinya dirempuh penyeludup yang membawa 500 kilogram (kg) ketum di Jalan Kampung Padang Gelanggang, Ayer Hitam, di sini, awal pagi tadi

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, pemandu Proton Iswara, Ahmad Sofberi Sharif, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Hananie Hassim, 28, parah akibat kecederaan pada kepala dan kaki.

Penyeludup lelaki berusia 29 tahun berasal dari FELCRA Lubuk Sireh, Padang Besar, yang memandu Nissan Grand Livina turut parah akibat cedera pada badan, kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sarat muatan ketum terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kangar, Perlis.

Katanya, pemandu kereta Proton Iswara dan isterinya baru selesai berniaga dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pida 8, Sanglang.

"Setiba di lokasi, MPV terbabit disyaki cuba memotong lori sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan kenderaan itu bertembung kereta Proton Iswara dinaiki mangsa dan isterinya.

"Akibat pelanggaran, mangsa dan isterinya tersepit di dalam kenderaan menyebabkan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rodzi berkata, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya dan pemandu MPV dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan lanjut.

"Kita percaya pemandu MPV berkenaan terbabit dalam kegiatan penyeludupan ketum dan berkemungkinan baru mengambil bekalan daun ketum untuk diseludup ke negara jiran.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dilakukan dan kita berharap orang ramai yang melihat kejadian dapat tampil membantu siasatan yang setakat ini dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Berita Harian X