Ahad, 17 April 2022 | 6:03pm
Antara bot yang ditahan Maritim Malaysia Bintulu, Khamis lalu. - Foto NSTP/Erika George
Antara bot yang ditahan Maritim Malaysia Bintulu, Khamis lalu. - Foto NSTP/Erika George

Maritim rampas 1.3 tan ikan, 2,000 liter diesel bernilai RM1.5 juta

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bintulu menahan tiga bot nelayan asing dan merampas 1.3 tan ikan serta 2,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta pada jarak 193 batu nautika dari utara Pelabuhan Bintulu, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil, berkata pihaknya turut menahan tiga tekong dan 32 kru berusia antara 24 hingga 55 tahun.

Beliau berkata, ketiga-tiga bot terbabit tidak mempunyai lesen sah untuk beroperasi selain dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, ketika dihampiri kapal peronda Maritim Malaysia Bintulu, tiga bot itu cuba melarikan diri, namun dipintas pasukan penguatkuasaan.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 yang mana memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi pemilik bot berserta RM600,000 bagi setiap kru bot jika didapati bersalah.

Berita Harian X