Sabtu, 16 April 2022 | 1:22pm
Mayat dua kanak-kanak mangsa bot karam di kawasan perairan Pulau Timbun Mata ditemukan, jam 7.10 pagi tadi. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
Mayat dua kanak-kanak mangsa bot karam di kawasan perairan Pulau Timbun Mata ditemukan, jam 7.10 pagi tadi. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Mayat dua kanak-kanak mangsa bot karam ditemukan

SEMPORNA: Mayat dua kanak-kanak mangsa bot karam di kawasan perairan Pulau Timbun Mata ditemukan kira-kira jam 7.10 pagi tadi.

Mayat mangsa Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 6, ditemukan tidak jauh dari lokasi bot dilaporkan karam iaitu 0.3 batu nautika dari tenggara pulau berkenaan oleh penduduk kampung yang menyertai Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang bermula pada lewat malam kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata susulan penemuan itu Bot Bangi 10 dan Bangi 11 digerakkan ke lokasi kejadian untuk pengesahan.

Menurutnya, kedua-dua mayat dibawa ke Jeti Guru, dekat Pekan Semporna.

"Seterusnya, mayat diserahkan kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, pada jam 9.42 pagi untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Norrimi berkata, susulan penemuan kedua-dua mayat itu operasi SAR membabitkan pelbagai agensi itu yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan.

Dalam kejadian kira-kira 8.50 malam kelmarin itu, lima mangsa disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi dilaporkan hilang selepas bot dinaiki karam.

Bagaimanapun 14 penumpang termasuk juragan berjaya diselamatkan.

Berita Harian X