Jumaat, 15 April 2022 | 8:19pm
Tangkap layar video tular.
Tangkap layar video tular.

Pemandu langgar lari serah diri

ISKANDAR PUTERI: Pemandu kenderaan jenis Toyota C-HR yang menjadi buruan polis bagi membantu siasatan kes kejadian langgar lari di sekitar bandar raya ini menyerah diri awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, lelaki berusia 31 itu hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada jam 1.45 pagi hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan iaitu penjual ikan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara melulu dan membahayakan.

Selepas suspek hadir ke Balai Polis Trafik, dia ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes langgar lari itu.

"Suspek ditahan reman selama dua hari bermula hari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada Rabu lalu, pihak polis dimaklum berkaitan kejadian berkenaan pada 10 malam apabila dua rakaman video berdurasi 34 dan 23 saat tular di media sosial.

Rakaman video itu memaparkan dua kejadian berasingan langgar lari dua motosikal yang berlaku di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Air Hitam dan di Persiaran Ledang, dekat sini, 11 April lalu.

Video yang tular menunjukkan kenderaan jenis Toyota C-HR berkenaan merempuh motosikal selepas melakukan pusingan U sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

Berita Harian X