X
Jumaat, 15 April 2022 | 5:54pm

Lelaki 'bermain cinta' sebelum tipu kerani RM152,500

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas memperdaya seorang wanita yang dikenali melalui aplikasi cari jodoh dalam talian untuk menyerahkan barang kemas serta wang tunai bernilai RM152,500.

Suspek, 34, yang juga seorang penganggur ditahan sepasukan anggota Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Dang Wangi di sekitar ibu negara, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, mengesahkan tangkapan dilakukan susulan aduan diterima daripada mangsa, 39, yang juga seorang kerani di sebuah syarikat swasta pada 9 April lalu.

Mengulas lanjut, katanya mangsa dikatakan berkenalan dengan suspek yang mengaku kononnya bertugas sebagai doktor di sebuah hospital swasta melalui aplikasi 'Tinder' sejak 6 Februari lalu.

"Suspek turut berjanji mengahwini mangsa dan selepas berjaya memperdaya wanita itu, lelaki terbabit mula meminta bantuan mangsa dari segi kewangan untuk membayar hutang peribadi, selain perbelanjaan perkahwinan.

"Mangsa berjumpa suspek di sebuah hotel di ibu negara dan menyerahkan sejumlah barang kemas bernilai RM30,000.

"Dalam perjumpaan lain, suspek menunjukkan pula satu dokumen pembelian rumah kepada mangsa dan meminta bantuan untuk berkongsi pembayaran wang deposit pembelian rumah terbabit.

"Mangsa kemudian memberikan wang tunai RM122,500 kepada suspek secara berperingkat sebagai deposit pembelian rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata penipuan suspek dapat dihidu mangsa selepas mengetahui lelaki itu pernah melakukan perkara sama terhadap beberapa mangsa lain di hotel sama, sebelum laporan polis dibuat.

Katanya, jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa RM152,500.

"Menerusi tangkapan ke atas suspek, tiga telefon bimbit, wang tunai RM18,000, sembilan keping jongkong emas serta lapan keping dinar emas dengan anggaran keseluruhan barang kemas bernilai RM30,000 turut dirampas.

"Suspek kini direman sehingga 16 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Mahidisham mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan membuat semakan latar belakang sebelum memulakan komitmen percintaan dengan individu dikenali di media sosial.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa dalam kes penipuan ini segera membuat laporan polis.

Berita Harian X