Khamis, 14 April 2022 | 12:58pm
Mercun dan seluar jeans seludup yang dirampas PGA7 selepas menahan suspek di Sekatan Pintas Serongga dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam. - Foto PGA7
Mercun dan seluar jeans seludup yang dirampas PGA7 selepas menahan suspek di Sekatan Pintas Serongga dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam. - Foto PGA7

RM800 upah hantar mercun, seluar jeans seludup

KOTA BHARU: Seorang lelaki mengaku menerima upah sebanyak RM800 bagi penghantaran 264 kotak mercun dan 425 helai seluar jeans bernilai RM52,500 dari pangkalan haram di Pasir Mas ke Kota Bharu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata perkara itu didedahkan suspek ketika soal siasat selepas ditahan di Sekatan Pintas Serongga dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Beliau berkata, anggota PGA7 menahan kereta Naza Citra dipandu suspek, selepas dilihat mencurigakan pada jam 4.45 petang.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan yang dipandu oleh suspek berusia 30 tahun itu menemukan sejumlah mercun dan pelbagai jenis seluar jeans, yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan ruangan but kenderaan berkenaan.

"Semua barang yang dirampas dipercayai di seludup dari negara jiran melalui pangkalan haram, untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya merampas kereta Naza Citra bernilai RM17,000, 264 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM10,000 dan 425 helai seluar jeans bernilai RM42,500.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM69,500. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasaan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA

Berita Harian X