Khamis, 14 April 2022 | 11:24am
Rakaman foto tular
Rakaman foto tular

Pemandu C-HR langgar lari diburu

ISKANDAR PUTERI: Iskandar Puteri: Pemandu Toyota C-HR berwarna merah yang memandu secara melulu dan melanggar lari sebuah motosikal di dua lokasi berbeza sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek kini sedang dikesan untuk diambil keterangan dan disiasat.

Katanya, hasil semakan mendapati dua laporan polis dibuat berhubung kejadian.

"Kejadian pertama membabitkan kes langgar lari di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru - Air Hitam dan kes kedua berlaku di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada 11 April lalu, jam 9.30 malam.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

"Kes ini masih dalam siasatan lanjut polis," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tular dua video berdurasi 34 saat dan 23 saat di media sosial memaparkan tindakan pemandu yang memandu secara melulu sehingga melanggar motosikal namun terus memecut laju.

Berita Harian X