Isnin, 11 April 2022 | 2:27pm

Pejabat Peguam Negara terima representasi dikemuka Serba Dinamik

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara sudah menerima representasi yang dikemukakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Berhad (Serba Dinamik) dan pegawai serta pengurusan tertingginya yang baru-baru ini berdepan tuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Mereka terdiri daripada Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, 58; Pengawal Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, 39; serta Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman, 37.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Hashley Tajudin ketika sebutan kes berkenaan yang dibuat secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Emelia Kaswati Mohd Khalid, Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin dan Datin Sabariah Othman, hari ini.

Hashley berkata, representasi itu dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada 17 Mac lalu, dan diterima pada 7 April lalu yang mana terdapat beberapa syarat perlu dilengkapkan.

Sehubungan itu, beliau memohon satu tarikh sebutan baharu ditetapkan bagi membolehkan pendakwaan memaklumkan mengenai perkembangan terhadap representasi berkenaan.

Semua mahkamah kemudian menetapkan pada 13 Mei ini bagi sebutan kes.

Sementara itu, Hasley yang kemudian ditemui pemberita selepas prosiding, berkata pendakwaan bagaimanapun tidak boleh mendedahkan mengenai butiran representasi terbabit.

Serba Dinamik selaku Orang Kena Saman (OKS) dan Syed Nazim, Azhan serta Muhammad Hafiz selaku tertuduh didakwa pada 28 Disember lalu, dengan niat untuk menipu, dengan mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung dalam "Serba Dinamik Holdings Berhad's Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020."

Mohd Abdul Karim didakwa atas kesalahan sama keesokannya.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum mengikut seksyen 369 akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta jika disabitkan kesalahan.

Berita Harian X