Ahad, 10 April 2022 | 2:55pm
Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 48 bungkus dan 273 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM20,745 di sebuah kediaman di Kampung Bunut Payung, di sini, semalam. - Foto ihsan PGA7
Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 48 bungkus dan 273 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM20,745 di sebuah kediaman di Kampung Bunut Payung, di sini, semalam. - Foto ihsan PGA7

Lelaki sorok mercun lebih RM20,000 dalam rumah

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Kampung Bunut Payung, di sini, semalam, atas kesalahan menyorok pelbagai jenis mercun di sebuah rumah.

Dalam serbuan jam 10 malam, PGA7 merampas 48 bungkus dan 273 kotak pelbagai jenis mercun, dengan anggaran nilai RM20,745.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata bertindak atas maklumat penyeludupan mercun, sepasukan pegawai dan anggota polis PGA7 membuat serbuan serta pemeriksaan ke atas kediaman berkenaan.

"Kita menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemilik kediaman itu. Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas lelaki itu dan pemeriksaan di dalam premis, polis menemui 48 bungkus serta 273 kotak pelbagai jenis mercun.

"Mercun yang dirampas dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu. Kegiatan penjualan mercun dijalankan menjelang awal Ramadan atas faktor permintaan dan harga pasaran yang meningkat," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Pada masa sama, Azhari berkata, PGA7 akan menggandakan usaha dan mengetatkan kawalan sempadan negara terutama menjelang musim perayaan berikutan permintaan terhadap barang seludup dijangka meningkat.

"Masyarakat diingatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan," katanya.

Berita Harian X