Khamis, 7 April 2022 | 11:54am

Jurujual rugi RM15,000 kena scam

KOTA BHARU: Seorang jurujual wanita kerugian RM15,000 selepas ditipu kononnya mempunyai tunggakan cukai selain terbabit dengan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin, mangsa berusia 30 tahun dikatakan menerima panggilan daripada lelaki yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM52,000.

Suspek kemudian meminta mangsa membuat laporan polis sebaik wanita terbabit menafikan terdapat tunggakan cukai sebagaimana dakwaan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata talian mangsa kemudian disambung kepada seorang lelaki kononnya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Selepas itu mangsa dimaklumkan terbabit dengan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah selepas semakan dibuat sebelum talian disambung pula kepada lelaki kononya pegawai polis dari Bukit Aman.

"Mangsa diberitahu bahawa kes jenayahnya adalah kesalahan besar dan perlu mendapatkan bantuan daripada pegawai polis berpangkat Datuk sebelum panggilan disambung.

"Lelaki yang menyamar Datuk itu memberi pilihan sama ada waran tangkap dikeluarkan atau mangsa membuat semakan akaun kerana dikatakan menerima rasuah dan wang hasil kegiatan jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang takut dengan dakwaan berkenaan diminta ke bank untuk memohon perbankan internet bagi memudahkan membuat semakan.

"Mangsa pergi ke Public Bank Tanah Merah dan sebaik mengisi segala maklumat, mangsa diminta tunggu 15 minit dan suspek memaklumkan akan menghubungi semula.

"Mangsa berasa curiga dan membuat semakan akaun sebelum mendapati wang dalam akaunnya hilang sebanyak RM15,000," katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Berita Harian X