Selasa, 5 April 2022 | 10:29pm

Polis tidak pernah tutup kes seludup migran Wang Kelian

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Thailand didakwa di mahkamah hari ini kerana menjalankan penyeludupan migran, menunjukkan polis tidak pernah menutup siasatan mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis, yang dikaitkan dengan kegiatan itu.

Lelaki berusia 34 tahun berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, kerana menyeludup seorang migran warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, lapan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata siasatan kes penyeludupan itu masih berjalan dan pihaknya dalam proses mendakwa beberapa lagi suspek.

Sebelum ini, lelaki itu ditahan sepasukan anggota Bahagian D3 Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) JSJ Bukit Aman di Johor Bahru, pada jam 3.05 petang, 8 Mac lalu.

"Ia berikutan suspek disyaki terbabit sindiket penyeludupan migran dikaitkan penemuan kem serta kubur di kawasan berbukit sempadan Malaysia dan Thailand, Wang Kelian, pada 2015.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 serta Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tertuduh, Suchat Tohdin, 34, yang tinggal di Johor Bahru dan bekerja sebagai pekerja kedai makan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Suchat didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap seorang warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar sekitar jam 5.30 pagi antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015.

Oleh demikian, tertuduh sudah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007.

Seorang lelaki warga Thailand, Suchat Tohdin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menyeludup seorang migran warga Myanmar di Padang Besar, kira-kira lapan tahun lalu.
Seorang lelaki warga Thailand, Suchat Tohdin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menyeludup seorang migran warga Myanmar di Padang Besar, kira-kira lapan tahun lalu.
Berita Harian X