Selasa, 5 April 2022 | 1:21pm

Nelayan asing guna lesen kargo ceroboh perairan negara

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan modus operandi terkini nelayan asing yang menggunakan lesen kargo untuk tujuan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini.

Pengarah maritim Malaysia Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, taktik itu terbongkar susulan penahanan empat bot nelayan Vietnam berserta 46 awak-awak termasuk tekong yang dikesan menceroboh perairan negeri ini pada 31 Mac lalu.

Beliau berkata, ketika ditahan bot terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Natuna ke Vietnam dan berhenti di perairan Terengganu untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.

"Mereka (nelayan Vietnam) gagal mengemukakan dokumen diri serta surat kebenaran menangkap ikan yang sah di negara ini ketika diminta.

"Malah lesen kargo dikemukakan juga sebenarnya masih dalam proses permohonan dan kita sedang menyiasat lebih lanjut tentang perkara terbabit dengan agensi berkenaan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Mengulas trend pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negeri ini, beliau berkata, tahun lalu sahaja bagi tempoh antara Januari hingga April sebanyak 40 bot nelayan Vietnam ditahan, namun tahun ini hanya tujuh yang ditahan.

"Antara faktor kurang kes pencerobohan sekarang adalah ketegasan kerajaan Vietnam terhadap nelayan mereka memandangkan 70 peratus warga negaranya yang diusir pulang selepas ditahan adalah nelayan yang menceroboh perairan negara ini.

"Kedutaan mereka ada datang ke sini dan berbincang mengenai masalah ini dan difahamkan mereka akan menemui syarikat yang mengaji nelayan dan ke lokasi pemilik bot nelayan yang ditahan berdasarkan nombor pendaftaran untuk memberi pendidikan mengenai masalah pencerobohan ini," katanya.

Mengulas serbuan Khamis lalu, katanya pihaknya mengesan 12 bot nelayan asing di kedudukan kira-kira 130 batu nautika dari Kuala Terengganu, namun hanya empat berjaya ditahan dengan selebihnya melarikan diri.

Dalam kes berasingan, beliau berkata sebuah lagi bot nelayan Vietnam ditahan pada Jumaat, disusuli penahanan sebuah lagi bot bernombor pendaftaran tempatan yang mana semua kru adalah warga Vietnam sehari kemudian.

Beliau berkata, secara keseluruhan 57 nelayan warga Vietnam ditahan dalam tiga operasi berasingan membabitkan kru dan tekong berusia antara 21 hingga 61 tahun, dengan nilai rampasan RM7 juta termasuk enam bot nelayan asing.

"Hasil ujian saringan mendapati dua daripada nelayan terbabit positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan dan langkah pengasingan sudah dilakukan bagi mengelak penularan dalam kalangan tahanan dan kakitangan Maritim Malaysia.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia, selain Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985," katanya.

Antara bot nelayan Vietnam yang ditahan dalam operasi Maritim Malaysia kerana mencerobohi perairan Terengganu. - FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Antara bot nelayan Vietnam yang ditahan dalam operasi Maritim Malaysia kerana mencerobohi perairan Terengganu. - FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Berita Harian X