Isnin, 4 April 2022 | 4:03pm
Anggota polis memeriksa beberapa peralatan dipercayai digunakan oleh suspek untuk memproses lesen memandu palsu. - NSTP/ihsan PDRM
Anggota polis memeriksa beberapa peralatan dipercayai digunakan oleh suspek untuk memproses lesen memandu palsu. - NSTP/ihsan PDRM

Remaja 17 tahun antara 2 ditahan jual lesen palsu

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki, termasuk seorang remaja di sebuah rumah di Durian Tunggal, Melaka, kelmarin disyaki terbabit sindiket penipuan menjual lesen memandu palsu.

Dalam serbuan jam 10.05 malam itu, sepasukan anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Cheras menahan suspek berusia 17 dan 22 tahun.

Ketua Jabatan JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata dalam serbuan itu polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses lesen palsu.

Katanya, serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 40 tahun membabitkan kerugian RM490.

"Pada Selasa lalu, mangsa mendakwa melihat iklan di Facebook menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pengadu kemudian menghubungi nombor tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan itu mangsa dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490.

"Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan. Curiga dengan suspek, pengadu membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahidisham berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak 2016 dan seorang suspek masih bersekolah dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Dua suspek itu direman tiga hari berakhir esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan mendapatkan lesen memandu melalui kaedah betul dan sah. Sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03-2610 1559/1599), talian WhatsApp (013-2111 222), mana-mana balai polis berdekatan atau layari laman web semakmule.rmp.gov.my," katanya.

Berita Harian X