Sabtu, 2 April 2022 | 9:52pm

2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi diselamatkan

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi seks, selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas, dekat sini, dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais, berkata kedua-dua wanita berusia 27 dan 28 tahun itu diselamatkan selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) kontinjen Pulau Pinang menyerbu hotel berkenaan hasil maklumat awam serta risikan.

"Dua lelaki tempatan berusia 29 dan 39 tahun dipercayai menjadi 'penjaga' serta ejen sindiket ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rahimi berkata, dua suspek itu direman enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Katanya, siasatan awal mendapati dua wanita itu dipercayai dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

– BERNAMA

Berita Harian X