Sabtu, 2 April 2022 | 12:55pm
Kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Jalan Sawah Lebar-Sungkak, Kuala Pilah, semalam. - Foto ihsan PDRM
Kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Jalan Sawah Lebar-Sungkak, Kuala Pilah, semalam. - Foto ihsan PDRM

Kakitangan awam maut nahas kereta tembung lori

KUALA PILAH: Seorang kakitangan awam maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sawah Lebar-Sungkak, di sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 3.50 petang itu, Fariz Mustapa, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata hasil siasatan awal mendapati lori terbabit masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa.

"Difahamkan, kemalangan berlaku ketika lori itu dalam perjalanan dari arah Sungkak menuju ke Pekan Kuala Pilah, manakala kereta dipandu mangsa pula dari arah Kuala Pilah.

"Setiba di lokasi kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta terbabit.

"Susulan perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan berkenaan terperosok ke dalam parit di bahu jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akibat kemalangan itu, Amran berkata, pemandu Proton Persona terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini, untuk bedah siasat.

"Lelaki berusia 27 tahun yang memandu lori terbabit pula dihantar ke Zon Kuning hospital sama bagi menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X