Selasa, 29 March 2022 | 6:33pm
Polis menahan 11 lelaki tempatan dalam serbuan ke atas sebuah premis di ibu negara, semalam. NSTP/Ihsan PDRM
Polis menahan 11 lelaki tempatan dalam serbuan ke atas sebuah premis di ibu negara, semalam. NSTP/Ihsan PDRM

Polis tumpaskan sindiket tawar bidaan beli hartanah tidak wujud

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu kegiatan penipuan bidaan pembelian hartanah dan barangan berharga tidak wujud selepas menahan 11 lelaki tempatan dalam serbuan ke atas sebuah premis di ibu negara, semalam.

Dalam serbuan pada jam 7 malam itu, polis turut merampas lima komputer riba serta 29 unit komputer riba yang digunakan sindiket dalam menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata siasatan awal mendapati sindiket baru menjalankan kegiatan penipuan pada awal Mac ini.

"Mereka akan menawarkan mangsa dari luar negara untuk membuat bidaan bagi pembelian hartanah dan barangan berharga yang disyaki tidak wujud.

"Sindiket ini akan memperdaya mangsa untuk membuat bidaan dengan nilai bidaan bermula daripada 1,000 Yuan (RM661) dan ke atas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti bidaan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Sekiranya terkesan sebarang aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh membuat laporan menerusi CCID Hotline di talian 013-2111222 atau Hotlie Polis Kuala Lumpur di talian 03-21461584/0585 atau CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599.

Berita Harian X