Selasa, 29 March 2022 | 6:07pm
Kegiatan penipuan bidaan pembelian hartanah dan barangan berharga tidak wujud tumpas selepas polis menahan 11 lelaki tempatan dalam serbuan terhadap sebuah premis di ibu negara. - Foto PDRM
Kegiatan penipuan bidaan pembelian hartanah dan barangan berharga tidak wujud tumpas selepas polis menahan 11 lelaki tempatan dalam serbuan terhadap sebuah premis di ibu negara. - Foto PDRM

Sindiket tawar bidaan beli hartanah, barangan tidak wujud tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu kegiatan penipuan bidaan pembelian hartanah dan barangan berharga tidak wujud selepas menahan 11 lelaki tempatan dalam serbuan terhadap sebuah premis di ibu negara, semalam.

Dalam serbuan pada jam 7 malam, polis turut merampas lima komputer riba serta 29 unit komputer riba yang digunakan sindiket dalam menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan sejak awal bulan ini.

"Mereka akan menawarkan mangsa dari luar negara untuk membuat bidaan bagi pembelian hartanah dan barangan berharga yang disyaki tidak wujud.

"Sindiket ini akan memperdaya mangsa untuk membuat bidaan dengan nilai bidaan bermula daripada 1,000 yuan (RM661) dan ke atas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti bidaan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Sekiranya terkesan sebarang aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh membuat laporan menerusi CCID Hotline di talian 013-2111222 atau Hotlie Polis Kuala Lumpur di talian 03-21461584/0585 atau CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599.

Berita Harian X