Jumaat, 25 March 2022 | 12:16pm

139 bot nelayan Vietnam dilucut hak jadi tukun tiruan

BESUT: Sebanyak 139 bot nelayan Vietnam yang dilupuskan pihak berkuasa kini dijadikan tukun tiruan di dasar laut perairan negeri ini termasuk dua yang ditenggelamkan semalam.

Semua bot terbabit dianggarkan bernilai lebih RM205 juta dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dilucut hak oleh mahkamah menerusi beberapa siri program pelupusan sejak 2010.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata dua bot ditenggelamkan semalam, adalah yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah tahun lalu kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Katanya, proses pelupusan berkenaan dilakukan di lokasi lima batu nautika dari perkampungan nelayan Pulau Perhentian, di sini.

"Kaedah menenggelamkan bot sebagai tukun tiruan adalah satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia dalam mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

"Pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT)," katanya selepas menyaksikan pelupusan bot terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua bot dilupuskan itu ditahan Kapal Maritim (KM) Pekan dan Langkawi menerusi Op Naga Barat dan Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu, manakala 26 kru termasuk tekong yang ditahan dikenakan hukuman penjara tujuh bulan.

Katanya, semua bot disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan perikanan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dengan nilai denda sebanyak RM2.5 juta.

"Ini adalah pelupusan siri ketiga tahun ini oleh Maritim Malaysia dan 30 bot lagi masih berada di tiga pusat tahanan vesel (PTV) negeri iaitu di Maritim Negeri Terengganu, Zon Maritim di Kemaman dan Bukit Datu," katanya.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

Dua bot nelayan Vietnam yang dirampas Maritim Malaysia dan sudah dilucut hak mahkamah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Perhentian. - FOTO NSTP/ Zaid Salim
Dua bot nelayan Vietnam yang dirampas Maritim Malaysia dan sudah dilucut hak mahkamah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Perhentian. - FOTO NSTP/ Zaid Salim
Berita Harian X