Isnin, 21 March 2022 | 1:21pm

Wanita rugi RM3.9 juta diperdaya 'kekasih Korea'

GEORGETOWN: Seorang wanita berstatus ibu tunggal kerugian RM3.9 juta apabila diperdaya 'kekasih dari Korea' yang dikenalinya sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zin, berkata mangsa yang tidak bekerja mengenali suspek berusia 40-an menerusi laman sosial Instagram sebelum meneruskan hubungan melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, suspek mendakwa berasal dari Korea dan bekerja di sebuah pelantar minyak.

"Suspek turut berkongsi videonya ke tempat kerja menyebabkan mangsa tertarik untuk mengenali lelaki itu. Suspek juga menawarkan kerjasama dengan mangsa dalam sebuah projek dan mendakwa memerlukan sejumlah wang.

"Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan 184 transaksi kepada kekasihnya dengan transaksi pertama pada Disember tahun lalu.

"Setiap transaksi yang dilakukan berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 menerusi 19 akaun bank tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, mangsa menyedari ditipu selepas curiga melihat foto suspek ketika melayari internet sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, pada 17 Mac lalu.

"Semua wang yang terbabit adalah milik mendiang suami mangsa yang disimpan hasil bekerja sebagai ahli perniagaan.

"Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan sindiket 'Love Scam' yang akhirnya menyebabkan kerugian sejumlah wang. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Shuhaily menunjukkan gambar yang sudah disunting oleh suspek selepas menipu wanita berusia 63 tahun yang menyebabkan kerugian RM3.9 juta di IPK Pulau Pinang, hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Mohd Shuhaily menunjukkan gambar yang sudah disunting oleh suspek selepas menipu wanita berusia 63 tahun yang menyebabkan kerugian RM3.9 juta di IPK Pulau Pinang, hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X