Sabtu, 19 March 2022 | 11:56am

Dedah akaun bank, wanita rugi RM18,000

KUANTAN: Seorang wanita kerugian RM18,000 selepas wang dalam akaun banknya lesap dipindahkan pihak tidak dikenali susulan tindakannya mendedahkan maklumat perbankan internet melalui 'aplikasi Bank Negara'.

Wanita berusia 41 tahun bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengubahsuaian rumah itu mendakwa terpaksa berbuat demikian atas arahan individu mendakwa pegawai Bank Negara (BNM) bagi tujuan siasatan selepas dikaitkan dengan kes tunggakan cukai syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian menimpa mangsa bermula selepas dia menerima panggilan individu menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin, yang memaklumkan tunggakan cukai syarikat sebanyak RM38,000.

Beliau berkata, syarikat itu dikatakan didaftarkan atas nama mangsa dan dia perlu menjelaskannya bagi mengelak tindakan undang-undang.

"Bagi meyakinkan mangsa, panggilan itu kemudian disambung kepada seorang individu kononnya pegawai polis dari Balai Polis Kota Bharu sebelum dia dimaklumkan satu laporan polis akan dibuat berhubung kes berkenaan.

"Bagi menyelesaikan kes itu, mangsa diminta berbincang dengan 'pegawai BNM' melalui panggilan disambungkan.

"Selepas berhubung dengan pegawai terbabit, mangsa diminta memuat naik satu aplikasi kononnya milik BNM dan mengisi segala maklumat diperlukan pada ruangan disediakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, akur dengan arahan itu mangsa mengisi segala butiran diperlukan termasuk nombor kad pengenalan, nombor telefon, nama pengguna perbankan internet dan nombor kad banknya.

Katanya, selepas segala butiran itu dilengkapkan, mangsa diarahkan tidak menggunakan perbankan internetnya dalam tempoh 24 jam sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Arahan itu menimbulkan kecurigaan mangsa lalu dia menamatkan panggilan dan segera membuat semakan ke atas akaun banknya.

"Hasil semakan, mangsa mendapati wang dalam akaun banknya berjumlah RM18,000 dipindahkan melalui tiga transaksi pemindahan ke sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki tidak dikenali," katanya.

Beliau berkata, mengesyaki ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab semalam untuk tindakan lanjut.

Mohd Wazir berkata, semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun bank yang digunakan mendapati ia disenaraikan sebagai nombor telefon dan akaun bank bermasalah.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X