Jumaat, 18 March 2022 | 11:14pm
Dua pemancing ditemukan selamat selepas terkandas berikutan bot tenggelam akibat dipukul ombak. - Foto ihsan APMM
Dua pemancing ditemukan selamat selepas terkandas berikutan bot tenggelam akibat dipukul ombak. - Foto ihsan APMM
Bot gentian kaca yang dinaiki mangsa, mengalami kebocoran sebelum tenggelam akibat dipukul ombak. - Foto ihsan APMM
Bot gentian kaca yang dinaiki mangsa, mengalami kebocoran sebelum tenggelam akibat dipukul ombak. - Foto ihsan APMM

2 pemancing terkandas bot tenggelam, ditemukan selamat

KUALA NERUS: Kerisauan seorang ibu apabila anaknya tidak pulang selepas keluar memancing bersama rakan sejak semalam, terjawab apabila mereka ditemukan selamat di sebuah kawasan berbatu di perairan Pulau Redang, hari ini.

Nik Nurudin Nik Wahid, 29, bersama rakan, Syairazi Mohd, 31, terkandas di kawasan itu selepas menyelamatkan diri apabila bot dinaiki mereka mengalami kebocoran dan tenggelam akibat dipukul ombak.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata terdahulu Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan mengaktifkan Operasi Carilamat kira-kira jam 9 pagi tadi bagi mengesan kedua-dua mangsa.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan sejurus selepas ibu kepada Nik Nurudin, Siti Rohmoh Abdullah, 58, membuat laporan polis atas kehilangan anaknya itu.

"Wanita terbabit membuat laporan polis pada jam 9 pagi tadi apabila mendapati anaknya yang pergi memancing bersama rakan menggunakan bot gentian kaca, tidak pulang ke rumah selepas 24 jam keluar ke laut," katanya kepada BH.

Justeru sebaik saja menerima isyarat daripada MRSC, Muhammad Suffi berkata, pihaknya mengatur gerak bot PERKASA 1234 ke lokasi kejadian sebelum kedua-dua mangsa ditemukan selamat kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima berita penemuan itu.

Beliau berkata, usaha menimbulkan bot yang tenggelam itu dilakukan APMM bersama komuniti Pulau Redang sebelum ia ditunda menggunakan bot keluarga mangsa ke jeti Merang.

Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat, terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan di perairan negara, ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu.

Berita Harian X