Khamis, 17 March 2022 | 7:13pm

Wanita didakwa perdaya ahli perniagaan tawaran gelaran 'Datuk Seri'

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM94,850 berhubung tawaran gelaran 'Datuk Seri'.

Ong Li Shi, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tertuduh didakwa memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang itu secara berperingkat ke dalam akaun bank milik tertuduh, iaitu mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini, pada 9 Disember 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim pula, rakan Li Shi, Chin Kah Fook, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM75,150 kepunyaan mangsa sama, dan tertuduh mengetahui wang terbabit bukan miliknya.

Kah Fook yang juga jurulatih seni mempertahankan diri, didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama pada 14 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar dan Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala peguam Muhammad Syafiq Salleh mewakili Li Shi.

Mahkamah kemudian membenarkan Li Shi serta Kah Fook masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM1,500 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 26 April dan 1 Jun depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Berita Harian X