Rabu, 16 March 2022 | 5:41pm

Rugi RM300,000, 'Datuk Seri' tak dapat

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu mendapatkan gelaran Datuk Seri, seorang lelaki kerugian hampir RM300,000 akibat diperdaya seorang 'Datuk Seri' palsu yang mendakwa boleh mendapatkan gelaran itu melalui istana.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada mangsa berusia 33 tahun yang bekerja sebagai seorang pengedar kit perubatan farmasi pada 8 Mac lalu.

Susulan laporan itu, polis menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 39 tahun dalam operasi pada 10 Mac lalu hingga kelmarin selain merampas dokumen Pengurniaan Darjah Kebesaran dipercayai palsu.

Katanya, seorang daripada suspek berusia 38 tahun mengaku bergelar 'Datuk Seri', namun semakan dilakukan dengan Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi mendapati nama suspek tiada dalam senarai rekod.

"Mangsa mendakwa ditawarkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri oleh suspek pada 1 Mac lalu, namun diberikan syarat perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak istana.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat bayaran tunai sebanyak RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa diberikan dokumen Watikah Penganugerahan Darjah Kebesaran termasuk dua kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo atau emblem kereta Darjah Kebesaran dipercayai palsu milik sebuah negeri.

"Bagaimanapun, rakan mangsa yang juga seorang Datuk Seri memaklumkan urusan itu meragukan menyebabkan mangsa membuat laporan polis," katanya.

Hasil siasatan juga mendapati suspek pernah melakukan perbuatan sama berkait dengan satu kes pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan serta Seksyen 15(1)(b) Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017 kerana meminta, menerima memberi dan sebagainya, suapan bagi anugerah.

"Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan tawaran Darjah Kebesaran, orang ramai boleh membuat semakan penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat secara dalam talian melalui istiadat.gov.my," katanya.

Berita Harian X