Khamis, 10 March 2022 | 4:02pm
Keadaan kereta mangsa selepas dilanggar van di Jalan Batu Kawah-Bau, pagi tadi. STR/MELVIN JONI
Keadaan kereta mangsa selepas dilanggar van di Jalan Batu Kawah-Bau, pagi tadi. STR/MELVIN JONI

Dua maut kereta dilanggar MPV, van

PADAWAN: Dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batu Kawah-Bau, pagi tadi.

Kedua-dua mangsa yang maut dalam nahas kira-kira jam 8.25 pagi itu ialah dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 37 tahun, yang menaiki sebuah Perodua Axia.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata ketika kejadian, kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Batu Kawah menghala ke Bau dikatakan berhenti secara mengejut sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah MPV.

"Akibat perlanggaran, kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh sebuah van.

"Kedua-dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HUS untuk tindakan lanjut.

Alexson berkata, pemandu MPV terbabit, yang juga seorang guru wanita berusia 42 tahun dan pemandu van, lelaki berusia 36 tahun hanya cedera ringan pada tangan dan kaki.

Katanya kejadian berlaku dalam keadaan cuaca cerah, dengan kawasan kemalangan di jalan yang masih dalam pembaikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X