Selasa, 8 March 2022 | 8:37pm

Tahanan lokap di Sarawak mati mengejut

KUALA LUMPUR: Tahanan lokap Balai Polis Pusat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Sarawak meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas mengadu sesak nafas Sabtu lalu, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata bedah siasat terhadap mayat mangsa di Hospital Umum Kuching, hari ini, mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah, sebaliknya kematian akibat penyakit arteri koronari.

"Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, JIPS Bukit Aman dilaporkan menerima maklumat kematian lelaki warga Indonesia berusia 48 tahun itu pada jam 11.15 pagi.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dituduh di mahkamah pada 1 Mac lalu.

Tahanan ditempatkan sementara di lokap Balai Polis Pusat, IPD Bintulu sebelum mengadu sesak nafas dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X