Selasa, 8 March 2022 | 6:36pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pesara doktor rugi RM200,000 ditipu Macau Scam

KUALA LUMPUR: Seorang pesara doktor kerajaan kerugian RM200,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menyamar wakil bank dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur menerima laporan daripada lelaki berusia 83 tahun itu pada 26 Februari lalu.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata mangsa mendakwa dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai wakil bank, sehari sebelum membuat laporan polis.

Katanya, individu berkenaan mendakwa nama mangsa digunakan untuk pendaftaran kad kredit platinum master walaupun urusan itu tidak wujud.

Susulan itu, panggilan mangsa disambungkan kepada 'BNM' dan dimaklumkan satu laporan polis dibuat kerana namanya disalahgunakan dan akan membantu bagi membatalkan kad kredit itu.

"Mangsa juga menerima satu salinan laporan polis menerusi aplikasi WhatsApp. Lelaki berkenaan diminta menyerahkan 'user id' (identifikasi pengguna), kata laluan perbankan dalam talian dan nombor OTP (kata laluan sekali).

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya memadankan mesej OTP diterima. Selepas urusan transaksi itu, mangsa menghubungi pusat khidmat pelanggan bank berkenaan untuk semakan dan mendapati terdapat 14 transaksi pengeluaran dibuat daripada akaun mangsa.

"Merasa ditipu, mangsa membuat laporan polis. Kerugian membabitkan RM200,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa Macau Scam.

"Sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan, mereka boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03 2610 1559/1599), WhatsApp JSJK (013 2111 222) atau balai polis berdekatan, selain boleh layari pautan semakmule.rmp.gov.my," katanya.

Berita Harian X