Ahad, 6 March 2022 | 4:53pm

Doktor rugi RM63,950 diperdaya sindiket Macau Scam

KOTA MARUDU: Seorang doktor wanita kerugian RM63,950 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Doktor berusia 31 tahun yang bekerja di hospital daerah ini mendakwa menerima panggilan dari seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN jam 1.50 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, berkata suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Katanya, panggilan kemudian disambung kononnya kepada 'Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka' dan suspek kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

"Selepas itu, mangsa dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah penggubahan wang haram.

"Mangsa kemudian memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, pada jam 5.30 petang hari sama, mangsa mengesyaki dirinya tertipu dengan sindiket Macau Scam.

"Mangsa kemudian membuat semakan semua akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang.

"Menyedari tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Berita Harian X