Ahad, 6 March 2022 | 3:31pm

Ops Power: Dua disambung reman

SEREMBAN: Dua lelaki yang disyaki terbabit sindiket melombong bitcoin dan menyogok pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup kegiatan itu di beberapa premis di negeri ini disambung reman dua hari lagi.

Reman terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 49 dan 50 tahun itu yang sepatutnya berakhir hari ini, dibenarkan dilanjutkan sehingga 8 Mac ini.

Perintah melanjutkan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Mas Azmimin Ahmad di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini.

Ia selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim.

Kedua-dua suspek diwakili Peguam Veni Paul daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Difahamkan, kedua-dua suspek dikatakan menawarkan dan memberikan wang jumlah keseluruhan RM75,000 secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan (Negeri Melaka/Johor/Negeri Sembilan) sejak Ogos 2021 hingga Januari lalu.

Ia sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Media sebelum ini melaporkan sindiket dikatakan membayar sehingga RM300,000 kepada kakitangan TNB bagi melombong bitcoin dengan melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram sejak 2018.

Sindiket yang dipercayai didalangi 18 individu berusia 30 hingga 60 tahun itu menyalurkan wang rasuah melalui dua cara iaitu wang tunai dan pindahan wang kripto.

Seorang ahli sindiket dikatakan mengawal 500 premis perlombongan bitcoin dan akan berunding dengan pegawai TNB ketika operasi dijalankan di premis mereka.

Berita Harian X