Sabtu, 5 March 2022 | 9:28am
Foto hiasan
Foto hiasan

Guru rugi lebih RM20,000

JEMPOL: Seorang guru wanita kerugian RM20,120 selepas menjadi mangsa penipuan jual beli perabot yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata mangsa berusia 42 tahun berminat membeli perabot meja solek selepas melihat ia diiklankan di Facebook pada 27 Februari lalu.

Katanya, mangsa kemudian menekan satu pautan aplikasi palsu perbankan yang diberi sebelum mengisi butiran peribadi termasuk akaun bank.

"Mangsa kemudian diminta membayar RM10 sebagai yuran keahlian bagi membolehkannya membeli barangan perabot pada harga lebih murah.

"Mangsa cuba membayar menerusi pindahan wang namun tidak berjaya sekali gus gagal membuat pembayaran.

"Mangsa yang curiga, kemudian membuat semakan ke atas akaun banknya sebelum mendapati wang di dalam akaun Tabung Haji berkurangan sebanyak RM16, 060 dan mangsa mendapati, ia dipindahkan ke akaun Bank Islam milik mangsa," katanya.

Chang Hook berkata, mangsa kemudian mendapati berlaku transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun e-wallet tidak dikenali membabitkan jumlah RM15,120 dan RM5,000.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan.

Berita Harian X