Khamis, 3 March 2022 | 2:02pm
Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeriksa server bitcoin yang digunakan secara haram. - Foto fail NSTP
Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeriksa server bitcoin yang digunakan secara haram. - Foto fail NSTP

Pegawai penguat kuasa terima suapan RM12,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai penguat kuasa, semalam bagi membantu siasatan dakwaan melindungi pusat perlombongan bitcoin di Perak.

Pegawai berusia 34 tahun itu dikatakan menerima bayaran RM12,000 sebulan, bagi melindungi pusat perlombongan bitcoin yang menggunakan bekalan elektrik secara haram di negeri itu.

Sumber berkata, pegawai yang bertugas di negeri itu ditahan hasil soal siasat seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara.

Katanya, pegawai berkenaan juga dipercayai memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin, yang mencuri elektrik.

"Hasil soal siasat mendedahkan bahawa wujud kegiatan pemilikan pusat perlombongan bitcoin dalam kalangan pegawai tinggi agensi agensi penguat kuasa.

"Namun, pusat ini dijalankan oleh ahli sindiket bagi pihak pegawai terbabit. Siasatan masih berjalan dan beberapa pihak terbabit sedang dikenal pasti.

"SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan berhubung perkara ini. Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009," katanya.

Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh mengeluarkan perintah reman terhadap suspek selama lima hari, bermula hari ini.

Dalam perkembangan sama, sumber berkata, seorang lelaki berusia 33 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Jenayah 12, Kuala Lumpur, hari ini dan direman empat hari hingga Ahad ini, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

"Ia bagi membantu siasatan dakwaan merasuah pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi melombong bitcoin menggunakan bekalan elektrik secara haram," katanya.

Berita Harian X