Selasa, 1 March 2022 | 1:36pm

Pekerja TNB cuba disuap

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket rasuah kepada kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi melombong bitcoin dengan bekalan elektrik secara haram.

Sindiket itu membabitkan 7,209 kes dengan kerugian RM2.3 bilion, sejak 2018.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata bayaran rasuah diberikan di antara RM3,000 hingga RM300,000.

Katanya, sebanyak 2,311 kes berlaku di Selangor disusuli Perak (1,349), Kuala Lumpur (732), Johor (723), Negeri Sembilan (599), Kedah (481), Pulau Pinang (344) dan Pahang (288).

Beliau berkata, menerusi Ops Power semalam, SPRM dengan kerjasama TNB menahan 18 lelaki, termasuk dalang berusia 30 hingga 60 tahun disyaki terbabit kes berkenaan, di seluruh negara.

Katanya, SPRM menyita wang rasuah berjumlah RM2.37 juta membabitkan 998 premis dan wang tunai RM281,180, selain membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat.

Turut disita, katanya, 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.31 juta (anggaran setiap mesin RM2,000), E-dompet RM82,000, mata wang kripto dolar Amerika Syarikat (USD) 25,893.46, lima kereta jenis BMW, Honda Accord, Vellfire, Ford Ranger dan Audi serta pelbagai barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin.

"Kita sepatutnya tahan 23 orang tetapi lima daripadanya positif COVID-19, manakala seorang suspek dipercayai menguasai kira-kira 500 premis berkenaan. Modus operandi pengusaha bitcoin akan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi dijalankan.

"Pembayaran rasuah dilakukan dengan dua cara, iaitu secara tunai dan mata wang kripto. Bayaran secara bulanan. Sebagai contoh, rasuah RM500 bagi setiap premis. Kalau ada 100 premis, maka RM50,000 jumlah rasuah.

"Sindiket bitcoin ini menggunakan mesin terkini dan dibeli dari China yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang dengan diisytihar peralatan teknologi maklumat (IT).

"Aktiviti mencuri bekalan elektrik pula dengan menggunakan alat khas atau penebat elektrik secara terus, selain secara 'tapping' (mencuri) bekalan elektrik pengguna lain, bagi mengurangkan jumlah penggunaan elektrik bulanan," katanya pada sidang media Op Power di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Logo Bitcoin di konvensyen Miami, Florida. - Foto hiasan AFP
Logo Bitcoin di konvensyen Miami, Florida. - Foto hiasan AFP

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood.

Azam berkata, kegiatan melombong bitcoin secara haram mengakibatkan kerugian kepada kerajaan khususnya TNB yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.

"Kegiatan itu juga menjejaskan bekalan atau arus elektrik kepada fasiliti kritikal seperti klinik, hospital dan pusat rawatan dialisis yang mengganggu operasi berkenaan.

"Berlakunya kerosakan perkakas elektrik dan kebakaran premis ekoran aktiviti perlombongan bitcoin itu, selain pemilik premis akan teraniaya kerana menanggung segala tuntutan dan tindakan yang akan dikenakan oleh TNB hasil daripada aktiviti ini," katanya.

Azam Baki menunjukkan barang mesin melombong bitcoin pada sidang akhbar Ops Power di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Azam Baki menunjukkan barang mesin melombong bitcoin pada sidang akhbar Ops Power di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X