Selasa, 1 March 2022 | 12:36pm

Lombong bitcoin: Dua lelaki sogok pegawai TNB ditahan SPRM

SEREMBAN: Dua lelaki disyaki didapati menyogok pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM75,000 sejak Ogos tahun lalu, dalam usaha melindungi kecurian bekalan elektrik yang digunakan operasi perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan.

Dua lelaki itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Kedua-dua suspek berusia 49 dan 50 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 6 Mac depan dan akan ditempatkan ditempatkan di Lokap SPRM Negeri Sembilan.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Penolong Penguasa SPRM Riduan Kadri di hadapan Penolong Pendaftar Tuan Mas Azmimin Ahmad di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini.

Difahamkan, kedua-dua suspek menawar dan memberi wang jumlah keseluruhan RM75,000 secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan (Negeri Melaka/Johor/Negeri Sembilan) sejak Ogos 2021 hingga Januari lalu.

Ia sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan eletrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Seremban dan tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.20 pagi sambil diiringi pegawai SPRM.

Media semalam melaporkan SPRM menyertai operasi serbuan ke atas beberapa premis di seluruh negara yang dikesan mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin susulan terdapat individu yang memberikan sogokan kepada pegawai badan utiliti berkenaan.

Dua suspek direman di Mahkamah Seremban, selepas disyaki memberi sogokan kepada pegawai TNB bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin sekitar Negeri Sembilan.
Dua suspek direman di Mahkamah Seremban, selepas disyaki memberi sogokan kepada pegawai TNB bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin sekitar Negeri Sembilan.
Berita Harian X