Isnin, 28 Februari 2022 | 7:24pm

Kilang disyaki cuci ratusan tangki kimia dengan air curi

PELABUHAN KLANG: Tindakan sebuah kilang yang disyaki menjalankan operasi pembersihan ratusan tangki kimia dengan menggunakan bekalan air secara haram terbongkar apabila diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), hari ini.

Operasi serbuan dan penguatkuasaan secara mengejut ke atas kilang yang terletak di Taman Perindustrian Pulau Indah, di sini dijalankan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Eksekutif Unit Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Pengguna, Ida Murni Marlina Ali, berkata serbuan itu susulan aduan diterima daripada Air Selangor yang melakukan risikan selama dua bulan berhubung kes penyambungan bekalan air secara haram itu.

"Siasatan pihak SPAN mendapati, pengusaha kilang terbabit melakukan kesalahan sambungan (bawah tanah) secara terus daripada paip utama milik Air Selangor dengan menggunakan paip jenis HDPE berukuran 50 milimeter.

"Siasatan juga mendapati, kegiatan curi bekalan itu bertujuan menampung aktiviti harian kilang itu iaitu kerja pembersihan tangki bahan kimia dan pekerja mereka.

"Semakan oleh Air Selangor juga mendapati, premis terbabit tidak mempunyai sebarang meter air serta akaun bekalan air yang sah dan berdafta, malah ujian klorin mengesahkan bekalan air diperoleh kilang adalah air terawat milik Air Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas operasi pemotongan sambungan bekalan air secara haram berhampiran kilang terbabit, di sini hari ini.

Ida Murni Marlina berkata, siasatan mendapati kecurian bekalan air sejak November 2020 itu membabitkan anggaran kerugian RM450,000 bersamaan kehilangan 195,000 meter padu air.

"SPAN akan menjalankan siasatan lanjut mengikut peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Mengikut peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

"Jika disabitkan tertuduh, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 123(3) akta sama," katanya.

Beliau berkata, pihak Air Selangor juga akan mengeluarkan notis kesalahan terhadap kilang terbabit bagi menuntut kerugian yang dialaminya.

Katanya, pengusaha kilang sudah dimaklumkan berhubung dakwaan berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Kita mendapati, syarikat ini beroperasi untuk pasaran antarabangsa. Kita masih menyiasat berapa lama kilang ini beroperasi, sama ada syarikat tempatan atau luar negara," katanya.

Eksekutif Unit Komunikasi, Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ida Murni Marlina Ali (dua dari kanan) menunjukkan penyambungan bekalan air tidak sah ke atas sebuah kilang pembersihan tangki bahan kimia ketika mengadakan operasi penguatkuasaan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, hari ini. STR/FAIZ ANUAR
Eksekutif Unit Komunikasi, Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ida Murni Marlina Ali (dua dari kanan) menunjukkan penyambungan bekalan air tidak sah ke atas sebuah kilang pembersihan tangki bahan kimia ketika mengadakan operasi penguatkuasaan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, hari ini. STR/FAIZ ANUAR
Berita Harian X