Isnin, 28 Februari 2022 | 7:05pm

Macau Scam: Kakitangan kerajaan rugi RM711,626

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan kerajaan kerugian RM711,626 selepas ditipu sindiket Macau Scam menyamar pegawai mahkamah dan polis.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur menerima laporan berhubung penipuan berkenaan daripada lelaki berusia 52 tahun itu, kelmarin.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata siasatan mendapati mangsa menerima panggilan daripada 'pegawai mahkamah' yang mendakwa lelaki itu terbabit rasuah dan pengubahan wang haram.

Panggilan itu kemudian disambung kepada 'polis' yang mengarahkan mangsa membuat transaksi wang ke 13 akaun bank bagi tujuan siasatan.

"Mangsa membuat transaksi berjumlah RM711,626 ke dalam akaun diberikan kerana berasa takut. Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan butiran pihak berkuasa seperti nama, pangkat dan tempat bertugas yang berhubung mengenai sebarang siasatan bagi mengelak menjadi mangsa Macau Scam.

"Orang awam juga perlu membuat semakan di balai terdekat bagi memastikan butiran pemanggil adalah benar daripada pihak berkuasa, membuat panggilan semula ke agensi berkenaan melalui talian rasmi serta tidak mendedahkan maklumat akaun kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon.

"Untuk melaporkan aktiviti mencurigakan dan jenayah, mereka boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03-2610 1559/1599) atau balai polis berdekatan, selain WhatsApp JSJK (013-2111 222) dan pautan semakmule.rmp.gov.my," katanya.

Berita Harian X