Jumaat, 25 Februari 2022 | 8:18am
Kilang papan haram yang dikesan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong di Kampung Pulau Santap, Janda Baik. - Foto/Ihsan PHD Bentong
Kilang papan haram yang dikesan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong di Kampung Pulau Santap, Janda Baik. - Foto/Ihsan PHD Bentong

Kegiatan kilang papan haram terbongkar

BENTONG: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong menemui kilang papan yang dipercayai beroperasi secara haram di Kampung Pulau Santap, Janda Baik di sini, kelmarin.

Kilang yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan membelah dan memotong balak termasuk mesin penyedut habuk kayu dipercayai masih lagi beroperasi.

Pegawai Hutan Daerah Bentong, Muhamat Azman Yahya, berkata kilang itu ditemui hasil rondaan penguat kuasaan di sekitar Janda Baik, dan ia dipercayai dilakukan beberapa individu tempatan memiliki kemahiran tinggi.

Menurutnya, ketika serbuan kilang yang dianggap lengkap itu kosong.

"Saya tidak pasti sama ada mereka terlebih dahulu dapat menghidu kehadiran anggota penguat kuasa atau memang tidak beroperasi kerana tidak mempunyai bekalan balak.

"Kilang berkenaan dipercayai hanya menghasilkan kayu bergergaji bersaiz kecil dan sederhana sahaja, berikutan mesin yang digunakan bersaiz kecil," katanya dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai dianggotai empat hingga lima individu tempatan dan kebanyakan kayu dihasilkan untuk pasaran tempatan sahaja dan harga kayu ditawarkan lebih murah, berbanding keluaran kilang bagi menarik minat pembeli.

Muhamat Azman berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan dari mana kilang terbabit mendapat bekalan balak sebelum menghasilkan kayu bergergaji pelbagai saiz.

"Kita tidak menolak kemungkinan kilang terbabit menerima balak curi dari luar daerah ini yang dibekalkan pihak lain, mereka juga mungkin mengambil balak tanpa lesen di sekitar Janda Baik.

"Saya berharap masyarakat dapat memberi kerjasama dengan memberi maklumat sebarang kegiatan pembalakan haram dan menghasilkan kayu bergergaji tanpa lesen, kerjasama yang diberikan dapat menyelamatkan hutan di daerah ini.

"Kemusnahan hutan hingga mengundang kejadian hakisan dan banjir lumpur boleh berlaku sekiranya kegiatan menebang balak tanpa kawalan terutama di kawasan bukit," katanya.

Berita Harian X