Rabu, 23 Februari 2022 | 3:19pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dua lelaki rugi hampir RM20,000 ditipu Macau Scam

KUALA LUMPUR: Dua lelaki kerugian hampir RM20,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menyamar kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Mangsa berusia 36 dan 29 tahun masing-masing bekerja sebagai jurutera dan pegawai khidmat pelanggan ditipu pada 15 serta 17 Februari lalu dan membuat laporan polis pada hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata siasatan mendapati mangsa dihubungi kakitangan 'LHDN' mendakwa cukai tertunggak belum dijelaskan sebelum disambung kepada 'polis'.

"Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan nama mereka terbabit dalam jenayah dadah sebelum diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat akaun bank ke dalam aplikasi itu.

"Beberapa minit kemudian, mangsa menerima notifikasi pesanan ringkas dan mendapati berlaku pengurangan wang sebanyak RM5,600 serta RM13,700.50 dalam akaun bank. Ini adalah modus operandi terkini Macau Scam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana membuat capaian tanpa kuasa sah terhadap akaun mangsa.

Sehubungan itu, Mahidisham menasihatkan orang awam tidak memuat turun aplikasi tidak berkaitan dan menyerahkan butiran perbankan kepada pihak ketiga.

"Jika mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03-2610 1559/1599) atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Berita Harian X