Selasa, 22 Februari 2022 | 8:37pm
Isu kematian tahanan dalam lokap banyak menjatuhkan imej dan kredibiliti PDRM. - FOTO HIASAN
Isu kematian tahanan dalam lokap banyak menjatuhkan imej dan kredibiliti PDRM. - FOTO HIASAN

Pemeriksaan KPD, Ketua Polis Balai antara mekanisme baharu pengurusan lokap

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan dan lawatan lokap oleh Ketua Polis Daerah (KPD) atau Ketua Polis Balai, serta pemeriksaan fizikal tahap kesihatan orang kena tahan (OKT) antara mekanisme dikenal pasti bagi menangani isu kematian dalam tahanan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, perkara itu adalah cadangan penambahbaikan mekanisme pengurusan lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM), supaya ia dilaksanakan dengan lebih teliti dan berkesan.

Beliau berkata, penambahbaikan itu hasil pemeriksaan pematuhan proaktif dilakukan JIPS terhadap salah laku atau ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan lokap yang dikenal pasti.

"Perkara-perkara yang akan dilakukan dalam penambahbaikan ini adalah pemeriksaan dan rondaan sel setiap sejam oleh anggota sentri dan pengawal lokap, selain pemeriksaan kesihatan OKT oleh Timbalan Pegawai Penjaga atau mana-mana pegawai di bawah arahannya setiap kali OKT keluar masuk lokap.

"Di samping itu, JIPS di peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah juga akan meningkatkan pemeriksaan serta pemantauan prosedur operasi standard sebagai tindakan semak dan imbang," katanya.

Azri berkata, semak dan imbang perlu dilakukan untuk memastikan lawatan lokap, rondaan sel dan pemeriksaan OKT semasa keluar masuk lokap dilaksanakan secara telus dan menyeluruh oleh pegawai polis, serta pengawal lokap dengan menyemak borang senarai semakan berkenaan.

"Pada masa kini, isu kematian tahanan dalam lokap PDRM adalah isu yang banyak menjatuhkan imej dan kredibiliti PDRM.

"Dalam hal ini, PDRM sentiasa peka mengenai isu kematian dalam tahanan malah berusaha mencari mekanisme dan cara terbaik bagi mengatasi masalah ini. PDRM sentiasa terbuka kepada cadangan penambahbaikan keadaan serta kemudahan lokap sedia ada," katanya.

Selain itu, beliau berkata PDRM sedang menggunakan teknologi dalam membantu tugas pengawalan lokap menggunakan Sistem Pemantauan Lokap Pintar iaitu Self Monitoring Analytics Reporting Technology (SMART).

Beliau berkata teknologi SMART digunakan untuk memantau dan mengawasi lokap menggunakan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Azri berkata, pemantauan aktiviti dalam lokap ini dapat dilaksanakan setiap masa secara 24 jam oleh petugas lokap dan rakaman CCTV ini akan disimpan dalam tempoh masa tertentu serta boleh diulang tayang.

"Oleh itu PDRM berharap sistem ini akan membantu penugasan pengawalan lokap dengan efektif dan mampu menangani persepsi negatif masyarakat bersabit kes kematian tahanan dalam lokap.

"Selain itu, penubuhan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu, bertujuan mengembalikan keyakinan orang awam terhadap PDRM dalam pengurusan isu berkaitan kes kematian dalam tahanan," katanya.

Beliau berkata tumpuan siasatan USJKT ini terbahagi kepada tiga kriteria iaitu criminal liablity (siasatan telus/pengesanan unsur jenayah/mengenal pasti subjek), duty care (ketinggalan/kecuaian/kelalaian) dan compliance of SOP (pematuhan terhadap SOP dan arahan yang dikeluarkan).

"Penubuhannya adalah untuk memastikan JIPS terus relevan dalam kebertanggungjawaban untuk menangani salah laku tatatertib dalam PDRM," katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyatakan USJKT ditubuhkan bagi meneliti dan menyelesaikan masalah kematian dalam kalangan tahanan. – BERNAMA

Berita Harian X