Selasa, 22 Februari 2022 | 7:28pm
Dua bot pukat kenka yang ditahan APMM di Perairan Kuala Kurau. - Foto Ihsan APMM
Dua bot pukat kenka yang ditahan APMM di Perairan Kuala Kurau. - Foto Ihsan APMM

Tiga nelayan kendalikan dua bot pukat kenka ditahan

PARIT BUNTAR: Tiga nelayan termasuk dua tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau selepas gagal membuktikan dua bot pukat kenka yang digunakan ketika menangkap ikan di Perairan Kuala Kurau, adalah milik persendirian.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali, berkata dalam kejadian sekitar jam 1.50 petang semalam, pihaknya menahan dua bot nelayan tempatan jenis pukat kenka di kedudukan 8.5 dan 8.7 batu nautika, barat daya muara Kuala Kurau, dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dikendalikan dua kru termasuk tekong, manakala bot kedua dikendalikan tekong sahaja.

"Semua mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 57 hingga 65 tahun. Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit dioperasi secara bersama dan mempunyai lesen sah.

"Namun semua kru gagal membuktikan mereka adalah pemilik bot terbabit dimana ianya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik.

"Semua bot, kru, peralatan menangkap ikan dan 300 kilogram hasil ikan baja dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media.

Ketiga-tiga nelayan terbabit dilepaskan dengan jaminan polis.

Berita Harian X