Isnin, 21 Februari 2022 | 11:06am

Lesap RM140,679 diperdaya sindiket Macau Scam

KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan kerugian RM140,679 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM).

Lebih malang, sebahagian besar wang itu turut membabitkan simpanan milik ibu mangsa kononnya untuk siasatan bagi pembabitan dalam kes pelaburan dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pada 11 Februari lalu, mangsa seorang lelaki yang berusia sekitar 20-an menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai TM Point mendakwa identitinya sudah digunakan untuk mendaftar talian yang terbabit dalam kes jenayah siber.

"Panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada dua suspek berikutnya yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Sarjan dan Inspektor.

"Hasil semakan lanjut 'pihak polis' terhadap identiti mangsa mendapati lelaki itu turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram bersama satu sindiket pelaburan yang diketuai seorang individu yang mana mangsa dikatakan sudah memindahkan wang sebanyak RM400,000 ke akaun bank milik individu berkenaan.

"Mangsa yang menafikan pembabitannya itu dinasihatkan untuk meminta bantuan suspek berikutnya bernama 'ACP Datuk Mohd Fazley' yang berjanji akan membantunya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Shafien berkata, bagi membantu siasatan 'pihak polis', mangsa diarahkan untuk menyerah maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna dan kata laluan serta nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) akaun bank miliknya.

Katanya, mangsa juga diarah menyerahkan maklumat membabitkan akaun bank milik ibunya atas alasan untuk siasatan bagi mengesahkan sama ada ibunya turut terbabit atau tidak dengan kes pelaburan berkenaan serta pengubahan wang haram.

"Mangsa mendapati sebanyak 15 transaksi pindahan wang berjumlah RM140,679 sudah dilakukan dari bank milik pengadu dan ibunya yang mana hampir RM100,000 adalah dari akaun bank milik ibunya antara 11 hingga 15 Februari lalu.

"Suspek mendakwa wang itu dipindahkan sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan.

"Pengadu kemudian berasa curiga apabila suspek menasihatkannya membuat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan sebelum segera ke balai polis di Machang untuk membuat laporan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Shafien berkata, pihaknya ingin mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan sindiket Macau Scam yang sentiasa menukar watak antaranya menyamar pegawai dari bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah.

Berita Harian X