Sabtu, 19 Februari 2022 | 11:19am

Kerani, petani tertipu kerugian hampir RM43,000

KUANTAN: Seorang kerani dan petani di sini kerugian hampir RM43,000 apabila masing-masing tertipu dengan tawaran kerja sambilan palsu serta pinjaman wang tidak wujud.

Dalam kes pertama, kerani berusia 24 tahun itu terperdaya selepas tertarik dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang menjanjikan komisen 10 peratus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa terlebih dahulu diumpan dengan dua tugas yang diberi komisen sebagaimana dijanjikan.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Bentong itu kemudian diberikan tugas baharu sehingga dia diperdaya memasukkan wang ke dalam dua akaun berasingan melalui lapan transaksi.

"Disebabkan terlalu mempercayai janji manis suspek, mangsa akhirnya kerugian RM30,692 dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam.

"Modus operandi suspek ialah memperdaya dengan tawaran kerja sambilan palsu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan pula, seorang pekebun tanaman organik di Bukit Tinggi, Bentong, kerugian RM12,070 akibat tertipu dengan tawaran pinjaman wang tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, terdahulu mangsa berumur 34 tahun itu berminat meminjam RM10,000 lalu menghubungi suspek melalui WhatsApp.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran kononnya bagi proses permohonan pinjaman, menggunakan tiga akaun berasingan membabitkan lapan transaksi.

"Mangsa mengesyaki diri tertipu apabila gagal mendapat wang pinjaman itu, sebaliknya kerugian RM12,070. Mangsa juga tampil membuat laporan di IPD Bentong, semalam," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X