Sabtu, 19 Februari 2022 | 9:46am

OKT terima rawatan COVID-19 meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) yang menerima rawatan di hospital kerana positif COVID-19, meninggal dunia semalam.

Bagaimanapun, punca sebenar kematian OKT berusia 43 tahun itu pada jam 4.15 pagi, masih belum diketahui.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata siasatan mendapati OKT itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi, Johor, Rabu lalu, untuk menerima rawatan kerana demam dan muntah.

Ujian yang dibuat mengesahkan OKT itu positif jangkitan virus berkenaan sebelum ditahan di wad COVID-19 untuk rawatan lanjut.

"Terdahulu pada 21 Januari lalu, OKT berkenaan ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Lelaki itu direman empat hari dan didakwa di mahkamah pada 25 Januari lalu. Jaminan ditawarkan, namun OKT itu gagal menyediakan penjamin menyebabkannya diperintahkan ditahan reman di penjara.

"Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 1 Februari lalu dan perbicaraan pula 28 Februari depan. Bagaimanapun, OKT itu ditumpangkan sementara dalam lokap polis susulan penularan COVID-19 di penjara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azri berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menyiasat kes kematian berkenaan.

Berita Harian X