Jumaat, 18 Februari 2022 | 12:03pm
Bahan bukti terhadap sebuah restoran di Seremban 2 yang dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana tindakannya mencuri air SAINS. - Ihsan SAINS.
Bahan bukti terhadap sebuah restoran di Seremban 2 yang dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana tindakannya mencuri air SAINS. - Ihsan SAINS.

Pemilik restoran didenda RM5,000 kes curi air

SEREMBAN: Seorang pemilik restoran di Seremban 2, dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, semalam atas kesalahan mencuri air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), empat tahun lalu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail, berkata Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mewakili premis berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Katanya, lelaki terbabit mengaku telah menyalahi undang-undang membenarkan penyambungan semula bekalan air setelah bekalan air di premis terbabit dipotong oleh SAINS.

"Berdasarkan fakta kes, serbuan yang telah dilaksanakan oleh SAINS pada 29 November 2017 di tapak mendapati penghuni premis itu membuat satu penyambungan semula atau membenarkan penyambungan semula bekalan air tanpa kebenaran pemegang lesen pengagihan air di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 65).

"Denda yang diperuntukkan di bawah seksyen ini adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Bagi pertuduhan itu, hakim mengenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, tertuduh telah membayar denda yang dikenakan pada hari yang sama.

Berita Harian X