Rabu, 16 Februari 2022 | 10:19am

Lelaki ditahan menyamar polis, ugut mangsa guna rakaman video gari

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki ditahan selepas menyamar sebagai anggota polis termasuk menghantar rakaman video memaparkan imej sepasang gari miliknya, dengan tujuan menakutkan pihak lain.

Suspek berusia lingkungan 30-an dan berasal dari Sungai Petani di Kedah, ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, susulan laporan polis dibuat mangsa.

Ketua JSJ Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, siasatan mendapati suspek merakam video itu dengan niat menakutkan mangsa serta meminta mangsa menghormatinya.

"Berdasarkan maklumat, suspek dan mangsa dikatakan mempunyai masalah berkaitan isu rumah sewa.

"Susulan tangkapan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman serta sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek," katanya dalam kenyataan melalui Facebook PDRM Pulau Pinang malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran.

Rahimi turut mengingatkan orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyamar penjawat awam kerana ia satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan undang-undang.

Berita Harian X