Isnin, 14 Februari 2022 | 2:56pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Laki bini ditahan polis sebelum sempat joli hasil pecah kedai emas

BATU PAHAT: Sepasang suami isteri bersama rakan mereka, ditahan polis sebelum sempat berjoli hasil pecah masuk sebuah kedai emas di bandar ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pada jam 2 petang semalam, polis menerima laporan mengenai sebuah kedai menjual emas di bandar ini dipecah masuk.

"Siasatan mendapati beberapa barang kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM55,000 hilang daripada simpanan kedai terbabit.

"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira jam 4 pagi semalam, membabitkan dua suspek memecah masuk melalui pintu hadapan.

"Hasil maklumat awam, di antara jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam tadi, polis mengesan dan menangkap ketiga-tiga suspek berumur di antara 20 hingga 26 tahun dalam serbuan di Kampung Kenangan Dato Onn Batu Pahat dan Taman Putera Indah, Tokang Pechah," katanya.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu polis merampas beberapa bentuk cincin, subang dan rantai emas serta wang tunai RM8,415 dengan dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek kemudiannya ditahan reman tujuh hari sehingga 20 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X