Sabtu, 12 Februari 2022 | 5:42pm

Pengasuh tarik telinga bayi ditahan

BENTONG: Seorang pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak di daerah ini ditahan, Khamis lalu, selepas dipercayai menarik telinga bayi perempuan berusia 10 bulan hingga menyebabkan kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menahan wanita tempatan berusia 26 tahun itu pada jam 12.30 tengah malam selepas disyaki mencederakan bayi berkenaan.

"Siasatan awal dilakukan mendapati suspek menarik telinga kiri mangsa yang menyebabkan kecederaan ringan sebelum bayi terbabit dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Semakan dilakukan juga mendapati pusat jagaan berkenaan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, suspek terbabit akan direman selama empat hari bermula semalam hingga 14 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Jika disabitkan kesalahan, ia membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan sebelum menghantar anak ke pusat jagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa," katanya.

Berita Harian X