Jumaat, 11 Februari 2022 | 8:31pm
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh (dua kanan) menunjukkan rampasan peralatan komputer dalam serbuan ke atas dua premis rumah kedai yang disyaki menjalankan perlombongan bitcoin - Foto NSTP/IPD KUALA LANGAT
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh (dua kanan) menunjukkan rampasan peralatan komputer dalam serbuan ke atas dua premis rumah kedai yang disyaki menjalankan perlombongan bitcoin - Foto NSTP/IPD KUALA LANGAT

Polis, TNB serbu 2 premis curi elektrik lombong bitcoin

KUALA LANGAT: Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam menyerbu dua premis perlombongan bitcoin yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri elektrik di Jalan Nilam Taman Nilam, Banting di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, bertindak atas risikan, pihaknya bersama Team Seal TNB Selangor menyerbu premis terbabit kira-kira jam 6.20 petang.

"Hasil siasatan TNB, terdapat bacaan meragukan pada meter premis bernombor 152 dan 154 serta mengesyaki ada berlaku kecurian elektrik disebabkan kegiatan Bitcoin.

Polis merampas pelbagai peralatan komputer di kedua-dua premis dipercayai digunakan untuk melombong bitcoin yang semuanya bernilai RM210,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan khianat ke atas elektrik yang mana kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya," katanya.

"Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua premis yang menjalankan aktiviti bitcoin secara haram serta mencuri elektrik sehingga menyebabkan TNB mengalami kerugian RM 50,000 hingga RM 60,000 sebulan," katanya.

Berita Harian X