X
Jumaat, 11 Februari 2022 | 4:38pm
Antara pendatang tanpa izin warga Indonesia yang ditahan.- Foto NSTP/ Ihsan Polis
Antara pendatang tanpa izin warga Indonesia yang ditahan.- Foto NSTP/ Ihsan Polis

88 PATI ditahan di perairan Tanjung Karang

KUALA LUMPUR: Seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 20 wanita, seorang tekong dan dua pembantunya ditahan di perairan Tanjung Karang dekat Kuala Selangor, semalam, kerana disyaki terbabit kes penyeludupan.

Menerusi Op Pintas, sepasukan anggota Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Unit Risik dan Bot Ronda

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang menahan semua warga Indonesia itu, termasuk tekong dan pembantunya berusia antara 42 hingga 45 tahun.

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata turut dirampas sebuah bot kayu, satu enjin bot dan tiga telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Siasatan polis mendapati tekong berkenaan aktif menyeludup keluar dan masuk migran ke Malaysia sejak tiga bulan lalu menggunakan jalan laut tidak diwartakan.

"Tangkapan dibuat atas sebuah bot kayu jenis pom-pom di lokasi 0.9 batu nautika dari Persisiran Pantai Sungai Serdang di Klang Utara yang disyaki membawa migran warga Indonesia.

"Hasil soal siasat migran, bayaran dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah antara empat hingga lima juta rupiah (RM1,200 hingga RM1,500) yang dibayar kepada ejen di Tanjung Balai, Indonesia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, PATI berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini.

"Semua tahanan dan barang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Berita Harian X