Selasa, 8 Februari 2022 | 11:08am
Bas yang membawa 17 pelajar USIM terbabas dan terbalik di Bandar Baru Nilai, hari ini. - Foto bomba
Bas yang membawa 17 pelajar USIM terbabas dan terbalik di Bandar Baru Nilai, hari ini. - Foto bomba

Bas terbalik dipercayai akibat tumpahan minyak

NILAI: Tumpahan minyak di atas jalan raya dipercayai menjadi punca sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mengalami kemalangan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Nilai, di sini, hari ini.

Dalam insiden kira-kira jam 7.40 pagi, empat pelajar USIM dilaporkan cedera apabila bas itu terbabas sebelum terbalik, dan dipercayai melanggar sebatang pokok.

Pegawai Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Raihan Che Mat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.41 pagi dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.

Beliau berkata, nahas dikatakan berlaku ketika bas membawa 17 pelajar itu dalam perjalanan ke USIM.

Empat pelajar USIM dilaporkan cedera apabila bas itu terbabas sebelum terbalik. - Foto Bomba
Empat pelajar USIM dilaporkan cedera apabila bas itu terbabas sebelum terbalik. - Foto Bomba

Nahas dikatakan berlaku ketika bas membawa 17 pelajar dalam perjalanan ke USIM. - Foto Bomba
Nahas dikatakan berlaku ketika bas membawa 17 pelajar dalam perjalanan ke USIM. - Foto Bomba

"Setiba di lokasi kejadian, anggota mendapati sebuah bas terbalik di tepi jalan, dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok.

"Insiden dipercayai berlaku akibat tumpahan minyak di lokasi berkenaan. Empat pelajar dilaporkan cedera di tangan, pergelangan tangan dan bahagian tulang belakang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit kemudian dihantar menggunakan ambulans Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, untuk menerima rawatan.

Berita Harian X