X
Ahad, 6 Februari 2022 | 3:54pm
Polis merampas pelbagai dokumen daripada dua beranak yang ditahan, semalam selepas disyaki melakukan penipuan pakej perkahwinan. Ihsan Polis
Polis merampas pelbagai dokumen daripada dua beranak yang ditahan, semalam selepas disyaki melakukan penipuan pakej perkahwinan. Ihsan Polis

Bapa, anak lelaki ditahan dalangi penipuan pakej kahwin

KUALA LUMPUR: Dua beranak ditahan polis kerana disyaki mendalangi kegiatan penipuan urusan tempahan pakej perkahwinan, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 57 dan 25 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur di tepi jalan berhampiran Taman Sri Rampai, Wangsa Maju di sini.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata tangkapan itu hasil aduan diterima daripada seorang kerani wanita berusia 24 tahun yang menjadi mangsa penipuan dua beranak itu, pada Khamis lalu.

"Sekitar Mei tahun lalu, mangsa mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan untuk majlis perkahwinannya daripada sebuah syarikat dan berminat dengan tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pengantin pasangan serta jurugambar.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran deposit berjumlah RM7,265 namun syarikat itu gagal memberikan perkhidmatan seperti dijanjikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, polis turut merampas beberapa dokumen yang ditemui dalam pejabat milik suspek di Wangsa Maju serta telefon bimbit daripada dua beranak itu.

"Hasil siasatan, syarikat dimiliki dua beranak ini menjalankan perniagaan pakej perkahwinan secara sah dan berdaftar sejak 2008, namun operasi syarikat ditutup sejak awal tahun lalu. Kita syak ramai lagi menjadi mangsa penipuan dua beranak ini. Justeru kita masih mengesan mangsa lain dan meminta mereka untuk tampil membuat laporan polis.

"Kedua-dua suspek kini direman empat hari bermula semalam hingga 8 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tiada kemampuan memenuhi permintaan pelanggan.

"Ini termasuk sewenang-wenangnya menggunakan alasan pandemik COVID-19 kepada pelanggan selepas gagal menunaikan janji mereka," katanya.

Berita Harian X