Selasa, 1 Februari 2022 | 10:46pm
Bot nelayan asing warganegara Thailand yang ditahan Maritim Malaysia Negeri Kelantan - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia
Bot nelayan asing warganegara Thailand yang ditahan Maritim Malaysia Negeri Kelantan - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia

Maritim Malaysia rampas bot, tangkapan dan minyak diesel RM650,000

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan Thailand dan merampas tangkapan serta minyak diesel bernilai lebih RM600,000 kira-kira 85 batu nautika dari muara Tok Bali hari ini.

Nelayan asing warga Thailand itu ditangkap dengan sebuah bot, 300 kilogram ikan pelbagai jenis dan minyak diesel 200 liter bernilai RM650,000.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot itu membawa empat kru termasuk tekong yang berusia antara 23 hingga 71 tahun.

"Ketika melakukan rondaan, Maritim Malaysia menerima maklumat kehadiran bot nelayan asing berhampiran kawasan pelantar.

"Bertindak atas maklumat, kita ke lokasi dan mengesan sebuah bot nelayan berwarna putih menjalankan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Syed Adli berkata, tekong gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

Bot dan kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Tok Bali untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16(3) akta yang sama.

"Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru," katanya.

Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

Berita Harian X